Masalah
membaca bukanlah satu masalah yang baru dalam semua masyarakat di dunia, sama
ada bagi masyarakat dalam negara miskin atau dunia ketiga, malahan bagi negara
maju atau negara industri sendiri pun masalah ini masih berlaku dengan
berleluasa. Buktinya, negara Amerika dalam tahun 1930-an sendiri mengalami
masalah buta huruf yang kritikal dalam kalangan generasi muda mereka. Pada masa
itu, hampir 40% generasi muda mereka mengalami masalah tidak dapat membaca pada
tahap sepatutnya. Oleh hal yang demikian, disebabkan itulah bidang bacaan
dijadikan sebagai satu displin ilmu dalam sistem pendidikan mereka selepas tahun
1950-an. Kerana masalah ini juga, maka Amerika menjadi peneroka dan tunggak
dalam bidang ilmu bacaan di seluruh dunia masa kini. Masalah dalam membaca ini
adalah disebabkan dua faktor iaitu faktor dalaman dan faktor luaran.
FAKTOR DALAMAN
Bagi
faktor dalaman adalah disebabkan oleh faktor fizikal. Kecacatan yang ringan
terhadap deria tidak akan mendatangkan kesan negatif terhadap kebolehan
membaca, tetapi kecacatan yang berat boleh menyebabkan ketidakupayaan membaca.
Antara kecacatan fizikal yang amat mempengaruhi keupayaan membaca ialah :
Penglihatan
1. Juling
– menggunakan (fokus) kedua-dua biji mata ke arah yang sama. Ini akan
mengakibatkan imej bagi satu benda yang sama kelihatan tidak sam saiz dan
bentuknya.
2. Rabun
dekat – tidak dapat melihat pada jarak
yang dekat.
3. Rabun
jauh – (myopia) tidak dapat melihat pada jarak yang jauh.
4. Astigmatism
– penglihatan yang kabur diakibatkan kurang fokus cahaya pada salah satu atau
kedua-dua hujung retina.
5. Amblyopiks
– satu keadaan imej daripada salah satu biji mata tidak sampai ke otak.
Kesemua
simptom ini akan menyebabkan masalah kepada seseorang kanak-kanak untuk
menggunakan penglihatan pada peringkat awal dalam kemahiran membaca iaitu
mencerap imej huruf yang dipaparkan pada permukaan bertulis. Jika pada peringkat
awal ini sukar dilakukan, maka kanak-kanak akan menghadapi masalah untuk
meneruskan proses membaca pada peringkat mendekod.
Persepsi
penglihatan – pelajar yang mempunyai persepsi penglihatan yang bercelaru akan
menyebabkan kesukaran untuk membaca. Sebahagian dari simptomnya ialah:
1. Perkataan
kelihatan seolah-olah satu percampuran huruf yang tidak bermakna, seperti muzik menjadi msuki.
2. Huruf
atau perkataan menjadi terbalik – seperti contoh b menjadi d, atau
perkataan bas menjadi das.
3. Jika
jenis percetakan atau saiz huruf bertukar, pelajar tidak dapat mengenal pasti
huruf yang sebenar.
4. Satu
perkataan kelihatan seperti imej cermin.
5. Pelajar
yang tidak dapat membezakan suku kata.
Pendengaran
(auditori)
Pelajar
yang mempunyai masalah pendengaran yang teruk akan menghadapi masalah untuk
belajar membaca. Pelajar yang mempunyai masalah pendengaran yang ringan boleh
dibantu dengan teknik yang dapat meningkatkan perbendaharaan kata. Mereka yang
mempunyai masalah pendengaran juga akan menghadapi masalah untuk membezakan
bunyi vokal dan konsonan. Contohnya kanak-kanak ini tidak dapat membezakan
antara vokal a dengan vokal e, u
dengan o dan i dengan e. kerencatan
pendengaran juga terdapat dalam dua kategori, iaitu kerencatan sementara dan
kerencatan kekal.
Pertuturan
Punca
masalah pertuturan (seperti kecelaruan bunyi suara, nada yang tidak menentu,
pertuturan spastik) ialah masalah emosi, kelewatan pertumbuhan, kurang
pendengaran, pertumbuhan kerongkong yang tidak lengkap, sumbing dan kecederaan
otak atau sebahagian daripada otak. Namun demikian tidak semua punca masalah
pertuturan ini boleh mengakibatkan masalah tidak berkeupayaan membaca.
Faktor
neurologikal
Neurologi
ialah kajian yang berkait sistem saraf manusia termasuklah sistem dalam otak,
tulang belakang, urat, ganglia (tisu urat yang pelbagai) dan bahagian organ
reseptor. Sebahagian daripada bahagian neurologi ini boleh memberikan kesan
terhadap kebolehan membaca.
Kerosakan
otak
Kerosakan
otak boleh disebabkan beberapa faktor seperti kecederaan, penyakit atau
kesan
bahan toksid mencemar bahagian otak.
Neurologi
tidak berfungsi
Bahagian
otak yang tidak berkembang sepenuhnya atau bahagian otak yang tertutup
sebahagiannya sejak dilahirkan.
Faktor
keturunan
Ada
kajian yang mengatakan keturunan kuat mempengaruhi kemampuan untuk belajar.
Contohnya, kanak-kanak kembar, kembar seiras dan kembar seibu, menunjukkan
kemampuan yang berbeza dalam pencapaian. Kembar seiras lebih rapat hubungannya
dalam pencapaian daripada kembar seibu. Namun demikian, faktor
persekitaran juga amat penting untuk
melihat pencapaian kanak-kanak. Oleh itu, perkara yang perlu dititikberatkan
ialah bagaimana keluarga menyediakan persekitaran membaca yang banyak, minat
ibu bapa dan model bahasa yang ditunjukkan oleh ibu bapa kepada anak-anak.
Faktor
emosi
Kegagalan
membaca akan mempengaruhi emosi pelajar. Pelajar yang gagal membaca akan
mempunyai rasa rendah diri, tidak bermotivasi kecewa dan malas. Faktor emosi
yang boleh menganggu pencapaian pelajar dalam pelajaran ialah seperti kes
penderaan, kanak-kanak terbiar, dan perpecahan keluarga.
FAKTOR LUARAN
Faktor
sosio-ekonomi
Status
sosio-ekonomi (SES) kerap menjadi salah satu pemboleh ubah dalam kajian yang
berkaitan pencapaian pelajar untuk membaca. Kanak-kanak dari SES rendah
selalunya mempunyai pencapaian yang rendah dan kanak-kanak SES tinggi selalu
mendapat pencapaian yang tinggi. Keturunan, kaum dan perbezaan budaya juga
boleh mempengaruhi pencapaian pelajar dalam membaca.
Faktor
instruksional
Kaedah,
teknik dan strategi pengajaran guru penting untuk menentukan kejayaan pelajar
mencapai objektif pembelajaran. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran
membaca, kaedah dan teknik yang digunakan guru perlulah sesuai dengan tahap
perkembangan dan keupayaan belajar.
Faktor
motivasi
Motivasi
dari pihak luar amat mempengaruhi keupayaan membaca. Kanak-kanak yang kerap
digalakkan membaca dan diberi peluang untuk membaca akan lebih pantas menguasai
kemahiran membaca daripada kanak-kanak yang tidak ada galakan dan tidak
diberikan persekitaran membaca yang
luas.
Faktor
genetik
Perbezaan
perkembangan otak seseorang manusia berkaitan dengan pembelajaran pemikiran
kadang kala sangat dipengaruhi oleh faktor genetik. Penanda genetik bagi
pembaca yang lemah telah dikenal pasti pada kromosom 6 dan 15 (Kibby & Hynd, 2001).
Kanak-kanak bermasalah pembelajaran boleh berpunca daripada keturunan dan kerap
berlaku dalam sesuatu keluarga. Kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran begini
dapat dilihat dalam keluarga yang mempunyai pola yang sama seperti masalah
dalam pembelajaran yang dipunyai oleh ibu bapa waktu mereka bersekolah.




0 comments:
Post a Comment